26 July, 2008

FTU Review - JEBAT (Kolej Keris Mas)


Naskhah karya Prof. Dr. Hatta Azad Khan (kini dekan fakulti seni persembahan di UITM Shah Alam) ini bagi saya adalah salah satu bentuk teater moden. Sekiranya saya salah, sila betulkan saya. Ia juga merupakan sebuah skrip yang popular di kalangan penggiat teater tanah air. Ceritanya berbentuk komedi yang mengandungi kritikan-kritikan sosial yang agak pedas. Kali terakhir saya menonton naskhah ini adalah pada perasmian Festival Teater Kebangsaan 2006 itupun hanya sedutan babak awal sahaja. Melihatkan sedutan tersebut saya beranggapan bahawa kumpulan teater dari negeri Pulau Pinang itu menafsirkan naskhah tersebut secara surrealisme. Beberapa hari sebelum bermulanya festival, saya mendapat maklumat yang mengatakan kolej Keris Mas (kumpulan Sanggar Mas) membawa konsep bangsawan untuk naskhah ini. Saya pun berfikir, "Bolehkah skrip seperti ini diadaptasi kepada sebuah teater bangsawan?" Bagi saya, kumpulan daripada kolej Keris Mas ini pun dalam proses memancung 'kepala' sendiri kerana untuk mempersembahkan teater bangsawan, pelbagai syarat dan peraturan perlu dipatuhi seperti perlunya ada extra turn, gaya bahasa, dan pelbagai lagi. Lagipun saya memang tak pandai dalam teater bangsawan ini kalau nak dibandingkan dengan boboy, rajan atau ajmal. Sekiranya unsur-unsur bangsawan tidak dipenuhi, maka markah akan dipotong kerana kekaburan konsep kerana ini adalah pertandingan, bukan show biasa. Memandangkan sebahagian ahli-ahli produksi dah mula gelabah sebab mereka pun blur dengan konsep yang ingin disampaikan pengarah, saya pun memberi sedikit nasihat kepada mereka untuk menyelamatkan persembahan tersebut.


Namun, setelah melihat keseluruhan persembahan mereka pada malam tersebut, banyak kelemahan yang saya tak mampu nak kata apa sebab walaupun mereka ada mengikut nasihat saya, tapi ianya tidak cukup untuk menampung kelemahan-kelemahan yang ada. Senang cerita, kekaburan konsep tampak sangat ketara. Saya sendiri tak dapat detect ini teater bangsawan ke, moden ke, absurd ke, realisme ke... Apa yang saya belajar dari Bung Kancil, sebagai pengarah persembahan, konsep persembahan sangat penting terutamanya dalam pertandingan. Kejelasan konsep adalah terletak di bawah bahu pengarah dan pengarah perlu tahu dan arif mengenai apa yang ingin dipersembahkannya.

Mengenai lakonan, bagi saya secara keseluruhan biasa-biasa sahaja. Jebat yang dilakonkan oleh si Ludin (kau ni KTR lagi ke dah resign jadi ahli?) bagi saya tak sesuai dibawa oleh seorang yang berbadan agak kecil. Tapi gaya lakonannya bagi saya ok. Juga dengan watak pembesar yang dulunya bekas pelajar ko-k teater bangsawan. Nampak ada peningkatan berbanding dengan lakonannya waktu persembahan praktikal dulu. Yang lain, biasa-biasa sahaja.

Dari segi perjalanan produksi, bagi saya set yang dibina agak tidak praktikal untuk persembahan Jebat ini. Memang menarik mereka menggunakan konsep wayang kulit melalui 2 kelir putih pada bahagian tengah set, tapi seperti kata juri, permainan di kelir itu tidak dipelbagaikan. Tambahan pula permainan bayang-bayang kurang menjadi sehinggakan muncul visual bayang-bayang yang agak lucu bagi para penonton. Kawasan terlampau lapang didepan set menjadikan ianya kosong ditambah pula dengan pelakon yang kurang bermain dengan ruang. Pujian diberikan kepada barisan pemain alat muzik yang mengiringi persembahan dari awal sehingga akhir. Mereka sedikit sebanyak dapat menghidupkan suasana cerita dengan iringan muzik latar yang segar. Cuma untuk masa hadapan, barisan pemuzik bukan sahaja berfungsi untuk memainkan lagu secara serentak, malah alat muzik digunakan untuk menghasilkan bunyian yang lain sebagai kesan khas kepada persembahan.

Seperti yang dikomen juri, bangsawan perlu ketelitian. Tanjak adalah berbeza mengikut negeri melayu zaman kesultanan melaka. 2 juri yang datang dari jabatan kesenian negeri selangor ini amat arif dalam bidang bangsawan kerana mereka memang selalu terlibat dalam produksi bangsawan. Bagi saya, kostum yang dipakai boleh dianggap sebagai tangkap muat sahaja. Apa yang ada, apa yang dapat dipinjam, terus digunakan tanpa ada kajian terperinci. Sahabat-sahabat...kerja teater adalah kerja terperinci dari pelbagai aspek tau... we have to be serious when it comes to the theater performance.

Babak bersilat sedikit sebanyak menyelamatkan kehangatan persembahan pada malam itu. Koreografi silat yang ditunjukkan oleh watak hang jebat dan hang tuah menampakkan ada kesungguhan dalam melakonkan babak tersebut. Kalau ditambah dengan muzik iringan yang saspen mungkin dapat menambah debaran pada babak tersebut setelah penonton dihidangkan dengan komedi sindiran yang memenuhi skrip karya Dr Hatta ini.

Sanggar Mas antara kumpulan teater kolej yang agak popular di UKM ni. Kerana, kebanyakan ahli KTR dulu-dulu banyak dari kolej Keris Mas dan turut membantu dan join Sanggar Mas ini. Jadi reputasi tersebut perlu dikekalkan pada setiap pertandingan teater yang dianjurkan dalam UKM. Sayang, festival kali ini menampakkan keketaraan dari segi kualiti yang dipersembahkan oleh Sanggar Mas. Jika dibandingkan dengan naskhah Ludin pada festival yang lalu, Jebat seperti berundur satu langkah ke belakang. Bagi saya sebab utama kelemahan persembahan baru-baru ini adalah dari segi konsep yang dipilih. Kalau itu dapat diutamakan dan tepat, persembahan Sanggar Mas mungkin menjadi salah satu persembahan yang akan sentiasa diingati oleh penonton.

Pelik juga melihat kumpulan-kumpulan teater kolej UKM ni, KTR yang boleh dikatakan luas pengalamannya ni pun tak berani nak pentaskan sesuatu konsep yang ber'bahaya', inikan pula kumpulan dari kolej kediaman... haih..... Tak tau nak cakap apa.

p/s: dengar cerita ada budak Sanggar Mas kutuk show Titik-titik Hitam sebelum KTR bawa cerita tu ke MAKUM 07. Tak apa lah, sekurang-kurangnya sekarang dia dah tahu apa sebenarnya fungsi cermin.

23 July, 2008

FTU Review - SIDI (Kolej Ungku Omar)



Dengar cerita SIDI ini sebuah skrip baru. Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini bersama-sama KTR dalam Festival Teater MAKUM dan Festival Teater Selangor, kebanyakan kumpulan yang cuba mempersembahkan sebuah skrip baru kebiasaannya dikategorikan sebagai memancung diri sendiri. Ini berlaku akibat daripada kelemahan naskhah yang dipentaskan memandangkan mereka yang menulis skrip tersebut kurang pengalamannya dalam bidang penulisan. Tambahan pula UKM yang tiada fakulti atau program pengajian ke arah penulisan skrip teater secara terperinci. Pelajarnya hanya bergantung kepada bakat semulajadi dan keinginan untuk belajar sendiri bagi menghasilkan skrip sendiri dan mementaskannya. Jadi tidak mustahil dengan latar belakang itu, kebanyakan skrip yang dihasilkan sendiri itu lemah dari segi plot, perkembangan watak, isu, gaya bahasa dan pelbagai lagi elemen yang wujud dalam penghasilan sesebuah skrip. Lebih memburukkan keadaan apabila skrip yang dihasilkan menonjolkan satu unsur yang dinamakan 'syok sendiri'.


Itu yang berlaku pada kumpulan daripada Kolej Ungku Omar ini. SIDI merupakan skrip yang dihasilkan sendiri oleh pengarahnya kalau tidak silap saya. Namun, walaupun menggunakan skrip sendiri, ia tidak harus dipandang ringan kerana kemungkinan skrip yang dihasilkan mungkin ada kekuatannya tersendiri. Dengan adanya beberapa ahli Kelab Teater Rimba dalam yang turut bergabung tenaga dalam kumpulan ini, saya menjangkakan walaupun amatur, mungkin ahli KTR ini dapat membantu produksi mereka dalam menerapkan asas-asas teater dalam persembahan mereka. Namun, sangkaan itu meleset sama sekali. Melihatkan tatasusunan pentas semasa mereka sedang menyiapkan pentas telah memperlihatkan beberapa kelemahan ketara dari segi blocking. Memandangkan cerita yang ingin dipentaskan merupakan sebuah teater realisme, ciri-ciri teater tersebut tidak diteliti menyebabkan lahirnya kekaburan konsep setting. kawasan pentas Panggung Seni UKM yang luas dibahagi kepada dua bahagian yang lebih kurang sama besarnya, sebuah set dalam rumah dan sebuah set laman rumah. tidak banyak adegan yang melibatkan kawasan luar rumah namun setnya terlampau besar hingga menyebabkan banyak kekosongan ruang.



kelemahan ketara pementasan SIDI adalah dari segi teknik manipulasi lampunya. memang benar pelajar-pelajar yang mementaskannya bukanlah seorang juruteknik lampu yang profesional tetapi ruang selama sebulan lebih untuk berlatih tidak mampukah untuk berkorban tenaga sedikit untuk pergi ke DECTAR, berjumpa dengan juruteknik yang ada untuk belajar sedikit sebanyak mengenai konsep pencahayaan bagi pementasan teater? Usaha lebih maka hasilnya turut lebih. Itu konsep asas kehidupan. Teknologi pencahayaan di Panggung Seni hanya menggunakan par-can light, lampu yang dah tak banyak orang pakai untuk pencahayaan persembahan, namun ia boleh dijadikan sebagai titik mula pembelajaran mengenai teknik pencahayaan. Penggunaan filter, face lite dan pelbagai lagi tidak difahami dengan betul, menyebabkan persembahan menjadi suram.

Dari segi pelakonnya pula, tidak banyak yang boleh diperkatakan. Kelemahan di sana sini. Bagi saya hanya Zuliati yang menonjol, mungkin kerana dia merupakan ahli KTR yang telah mencedok pelbagai pengalaman berharga bersama kelab. Yang lain termasuk watak utama Sidi, tidak menampakkan apa-apa keistimewaan. Untuk produksi Sidi, saya memohon ampun kerana bagi saya pelakonnya out of control.

Namun begitu, masih ada yang boleh dipuji untuk produksi ini. Barisan ahli setting menunjukkan kekreatifan dari segi menghasilkan sebuah pintu rumah dari gabungan 2 almari di hostel. Tidak pernah terfikir di kotak pemikiran saya yang pintu rumah dibuat daripada 2 buah almari. Kredit untuk anda yang mempamerkan fresh idea dalam teater anda. Intro persembahan juga menarik walaupun keseluruhan ceritanya gagal. Watak isteri dan suami sedang bermesra dengan cahaya mata dan kemudiannya si isteri hilang dari pandangan meninggalkan bayi tersebut dengan si bapa, sedikit menyentuh perasaan saya. Cuma jika ditambah muzik sayu, mungkin ada penonton yang menangis melihat adegan intro sebegitu.



Demikian sudah pandangan saya mengenai perjalanan pementasan teater Sidi ini. Sekali lagi saya tegaskan seperti dalam blog sebelum ini bahawa ini adalah pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman. Bukan pandangan keseluruhan ahli KTR. Kami pun bukannya pandai macam budak-budak yang ambil course theater performance. Berdasarkan pengalaman, dan kesalahan yang pernah saya lakukan dalam pementasan suatu teater, maka review ini terhasil supaya kumpulan yang sama dapat memperbaiki mutu persembahan pada masa yang akan datang. Sebagai pemerhati semasa festival sedang berlangsung, agak mengejutkan apabila anugerah pengarah terbaik diberikan kepada pengarah teater Sidi ini. Saya tidak nampak apa yang lebihnya kepada pengarah teater ini yang dapat membawanya merangkul anugerah tersebut kerana terlampau banyak yang tidak kena dari aspek pengarahan yang berlaku sepanjang pementasan teater Sidi.

Keterbatasan dari segi wang ringgit, modal insan iaitu para pelakon yang boleh berlakon (bukan berbakat dalam berlakon), saya fahami ia mungkin menyebabkan sesebuah kumpulan teater tidak dapat mempamerkan persembahan yang bermutu. Saya faham yang sebahagian daripada ahli kumpulan teater ini adalah terdiri daripada pelajar baru tahun 1 yang hanya berada di UKM dalam 2,3 minggu dan masih blur-blur dalam bidang ini. Usah ragu, kepada kumpulan teater Kolej Ungku Omar, jadikan penyertaan anda baru-baru ini sebagai platform pengalaman bagi menempuh festival yang sama 2 tahun akan datang. Mana tahu, pengalaman tersebut dapat diguna pakai untuk membawa kumpulan anda pula merangkul johan. Siapa tahu?

22 July, 2008

MEMAHAT KENANGAN DI FESTIVAL TEATER UKM 08

Assalamualaikum,
Festival Teater UKM telah berlangsung dengan jayanya dari 17 Julai sehingga malam penutupnya pada 20 Julai (Ahad) yang lalu. Secara jujurnya dari pandangan saya kualiti persembahan kolej-kolej bertanding menampakkan peningkatan berbanding pada festival yang sama semasa saya berada pada tahun 2 satu masa dulu. Ingat lagi pada waktu itu terdapat banyak juga kolej yang bertanding tidak mampu mempersembahkan sebuah teater yang menarik atau dalam kata kurang ajarnya...mengantukla bila tengok show tersebut. Namun, kali ini terdapat peningkatan ketara dari segi persembahan keseluruhan. Sebanyak 8 kolej telah memperagakan kemahiran berteater masing-masing. bermula dengan kolej Ungku Omar, diikuti Kolej Keris Mas, Kolej Tun Syed Nasir, Kolej Dato Onn, Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Pendeta Za'ba, Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Hussein Onn. Berikut merupakan keputusan festival yang berlangsung selama 4 hari ini:

Pelakon harapan (L) :
Kolej Aminuddin Baki
(Dia Yang Sepi)

Pelakon harapan (W):
Kolej Keris Mas
(Jebat)

Pelakon pembantu (L):
Kolej Dato Onn
(Superptuih & Stesen Kaler Magenta)

Pelakon pembantu (W):
Kolej Tun Syed Nasir
(Kirana)

Pelakon Lelaki :
Kolej Tun Hussein Onn
(Terra Rossa)

Pelakon Wanita :
Kolej Tun Hussein Onn
(Terra Rossa)

Anugerah Artistik Terbaik :
Kolej Burhanuddin Helmi
(Atap Genting Atap Rumbia)

Anugerah Pengarah Terbaik :
Kolej Ungku Omar
(Sidi)

Anugerah Khas Juri:
Kolej Pendeta Za'ba
(Andai)

Persembahan ke 3 Terbaik :
Kolej Tun Syed Nasir
(Kirana)

Persembahan ke 2 Terbaik :
Kolej Dato Onn
(Superptuih! & Stesen Kaler Magenta)

Persembahan Terbaik :
Kolej Tun Hussein Onn
(Terra Rossa)

Jika dibuat perbandingan dengan barisan pemenang festival sesi sebelum ini, Kolej Dato Onn dan Kolej Tun Hussein Onn menunjukkan peningkatan yang menggalakkan di mana sebelum ini KDO mendapat Anugerah Khas Juri dan KTHO jika tak salah saya mendapat tempat ke 3. KTSN kali ini gagal mempertahankan kejuaraan yang dimiliki pada festival lalu.

Pelbagai warna-warni terhias pada festival kali ini. Selaku salah seorang urusetia festival, saya dapat memerhatikan pelbagai ragam bukan sahaja daripada pihak penganjur malahan pelbagai karenah dapat diperhatikan daripada kalangan peserta pertandingan itu sendiri. Bermula daripada mereka yang datang sebagai 'underdog' dan pemalu sehinggalah kepada yang 'over confident'...haih, macam-macam boleh diperhatikan.

Namun, keputusan juri adalah muktamad. Walaupun ada keputusan yang agak mengejutkan bagi saya, tapi itu tetap keputusan dan kita harus menerima qada' dan qadar Maha Kuasa seperti yang saya tafsirkan dalam blog peribadi saya. Tahniah diucapkan kepada pemenang, dan kepada yang rebah, iktibar merupakan perkataan sinonim yang bakal berjalan seiring dengan anda sehingga ke akhirnya.

Mewakili barisan urusetia yang boleh dikategorikan sebagai 'pecacai tahap maksimum' pada festival kali ini, saya memohon ampun dan maaf khusus kepada peserta-peserta pertandingan sekiranya ada salah silap sepanjang kami memberi perkhidmatan kepada anda. Sekiranya ada yang tertengking anda, saya turut mewakili mereka memohon maaf kerana di sebalik penganjuran dan keseronokan anda mempersembahkan teater anda, kami barisan 'pecacai tahap maksimum' ini terpaksa menangani pelbagai tekanan perasaan yang berpunca daripada satu pihak tertentu. Iyalah, bayangkanlah kan...dah lah jadi pecacai, makan pun tak ada. Malam penutup pun kena dahulukan peserta makan dulu. kalau habis, tak ada apa lah. Kat KJ Maju lah kami lepak ramai-ramai, makan...bawa keluar duit sendiri. Lepas tu, semuanya nak lepas tangan pada urusetia. Semua kerja sampai yang tak berkaitan pun barisan pecacai ini jugaklah yang dicari. Rasa macam pusat kebudayaan tu kami yang jadi bos sampai ke kuli, dekat tag dengan pamplet tak ada juga nama 'kelab pecacai professional' ni. Tapi, tak apa lah. Cerita dalam kain ni kalau bawa keluar nanti saya jadi 'sniper target' pula karang. Saya peduli apa. ingat mereka saja ada sniper?

antara pecacai yang paling sibuk sepanjang festival


Hahaha, melalut pula. Berbalik kepada festival, komen persembahan akan ditulis dalam ruangan blog ini bagi setiap kolej-kolej yang bertanding. Tapi kolej yang saya tak sempat tengok minta maaflah, tak ada komenlah ye nanti. Maybe Kawasari...eh, silap! Kasawari akan komen sebab dia rasanya tengok semua show. Sumpit pula saya berikan ruang untuk komen mengenai juara festival kali ini kerana dia merupakan salah seorang pelakon naskhah yang sama dan juga berjaya merangkul anugerah yang sama seperti kumpulan yang membawakan versi Terra Rossa yang baru pada festival kali in. Namun, harus diingat bahawa komen tersebut adalah komen peribadi daripada saya. kalau terasa sentap dengan ketajaman perkataan yang bakal saya taip nanti, bukanlah KTR atau blog ini yang harus dicari, tapi cari dan serang saya di blog peribadi saya di http://haikalfadzil.blogspot.com ye...

Tirai festival ditutup dengan persembahan daripada Kelab Teater Rimba UKM, dengan naskhah bertajuk 'Peminangan' adaptasi daripada karya Anton Chekhov bertajuk 'The Marriage Proposal' di mana saya bertugas sebagai ketua bahagian setting dibantu oleh saudari Aisyah, Asri, Pejal, dan Zul. Thank you so much kepada anak-anak buah dan cik Asri Daud yang banyak membantu untuk merealisasikan idea saya untuk teater Peminangan ini. Seperti biasa, minta maaf sebab saya tahu saya seorang yang cerewet apabila melaksanakan suatu tugasan. Namun, kita tahu kita menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan. Nasib baik UKM tak ada Kolej Teater Rimba. Kalau tak...entah-entah Anugerah Artistik Terbaik tu mesti ada saingan kan? Gagagaga...