22 July, 2008

MEMAHAT KENANGAN DI FESTIVAL TEATER UKM 08

Assalamualaikum,
Festival Teater UKM telah berlangsung dengan jayanya dari 17 Julai sehingga malam penutupnya pada 20 Julai (Ahad) yang lalu. Secara jujurnya dari pandangan saya kualiti persembahan kolej-kolej bertanding menampakkan peningkatan berbanding pada festival yang sama semasa saya berada pada tahun 2 satu masa dulu. Ingat lagi pada waktu itu terdapat banyak juga kolej yang bertanding tidak mampu mempersembahkan sebuah teater yang menarik atau dalam kata kurang ajarnya...mengantukla bila tengok show tersebut. Namun, kali ini terdapat peningkatan ketara dari segi persembahan keseluruhan. Sebanyak 8 kolej telah memperagakan kemahiran berteater masing-masing. bermula dengan kolej Ungku Omar, diikuti Kolej Keris Mas, Kolej Tun Syed Nasir, Kolej Dato Onn, Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Pendeta Za'ba, Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Hussein Onn. Berikut merupakan keputusan festival yang berlangsung selama 4 hari ini:

Pelakon harapan (L) :
Kolej Aminuddin Baki
(Dia Yang Sepi)

Pelakon harapan (W):
Kolej Keris Mas
(Jebat)

Pelakon pembantu (L):
Kolej Dato Onn
(Superptuih & Stesen Kaler Magenta)

Pelakon pembantu (W):
Kolej Tun Syed Nasir
(Kirana)

Pelakon Lelaki :
Kolej Tun Hussein Onn
(Terra Rossa)

Pelakon Wanita :
Kolej Tun Hussein Onn
(Terra Rossa)

Anugerah Artistik Terbaik :
Kolej Burhanuddin Helmi
(Atap Genting Atap Rumbia)

Anugerah Pengarah Terbaik :
Kolej Ungku Omar
(Sidi)

Anugerah Khas Juri:
Kolej Pendeta Za'ba
(Andai)

Persembahan ke 3 Terbaik :
Kolej Tun Syed Nasir
(Kirana)

Persembahan ke 2 Terbaik :
Kolej Dato Onn
(Superptuih! & Stesen Kaler Magenta)

Persembahan Terbaik :
Kolej Tun Hussein Onn
(Terra Rossa)

Jika dibuat perbandingan dengan barisan pemenang festival sesi sebelum ini, Kolej Dato Onn dan Kolej Tun Hussein Onn menunjukkan peningkatan yang menggalakkan di mana sebelum ini KDO mendapat Anugerah Khas Juri dan KTHO jika tak salah saya mendapat tempat ke 3. KTSN kali ini gagal mempertahankan kejuaraan yang dimiliki pada festival lalu.

Pelbagai warna-warni terhias pada festival kali ini. Selaku salah seorang urusetia festival, saya dapat memerhatikan pelbagai ragam bukan sahaja daripada pihak penganjur malahan pelbagai karenah dapat diperhatikan daripada kalangan peserta pertandingan itu sendiri. Bermula daripada mereka yang datang sebagai 'underdog' dan pemalu sehinggalah kepada yang 'over confident'...haih, macam-macam boleh diperhatikan.

Namun, keputusan juri adalah muktamad. Walaupun ada keputusan yang agak mengejutkan bagi saya, tapi itu tetap keputusan dan kita harus menerima qada' dan qadar Maha Kuasa seperti yang saya tafsirkan dalam blog peribadi saya. Tahniah diucapkan kepada pemenang, dan kepada yang rebah, iktibar merupakan perkataan sinonim yang bakal berjalan seiring dengan anda sehingga ke akhirnya.

Mewakili barisan urusetia yang boleh dikategorikan sebagai 'pecacai tahap maksimum' pada festival kali ini, saya memohon ampun dan maaf khusus kepada peserta-peserta pertandingan sekiranya ada salah silap sepanjang kami memberi perkhidmatan kepada anda. Sekiranya ada yang tertengking anda, saya turut mewakili mereka memohon maaf kerana di sebalik penganjuran dan keseronokan anda mempersembahkan teater anda, kami barisan 'pecacai tahap maksimum' ini terpaksa menangani pelbagai tekanan perasaan yang berpunca daripada satu pihak tertentu. Iyalah, bayangkanlah kan...dah lah jadi pecacai, makan pun tak ada. Malam penutup pun kena dahulukan peserta makan dulu. kalau habis, tak ada apa lah. Kat KJ Maju lah kami lepak ramai-ramai, makan...bawa keluar duit sendiri. Lepas tu, semuanya nak lepas tangan pada urusetia. Semua kerja sampai yang tak berkaitan pun barisan pecacai ini jugaklah yang dicari. Rasa macam pusat kebudayaan tu kami yang jadi bos sampai ke kuli, dekat tag dengan pamplet tak ada juga nama 'kelab pecacai professional' ni. Tapi, tak apa lah. Cerita dalam kain ni kalau bawa keluar nanti saya jadi 'sniper target' pula karang. Saya peduli apa. ingat mereka saja ada sniper?

antara pecacai yang paling sibuk sepanjang festival


Hahaha, melalut pula. Berbalik kepada festival, komen persembahan akan ditulis dalam ruangan blog ini bagi setiap kolej-kolej yang bertanding. Tapi kolej yang saya tak sempat tengok minta maaflah, tak ada komenlah ye nanti. Maybe Kawasari...eh, silap! Kasawari akan komen sebab dia rasanya tengok semua show. Sumpit pula saya berikan ruang untuk komen mengenai juara festival kali ini kerana dia merupakan salah seorang pelakon naskhah yang sama dan juga berjaya merangkul anugerah yang sama seperti kumpulan yang membawakan versi Terra Rossa yang baru pada festival kali in. Namun, harus diingat bahawa komen tersebut adalah komen peribadi daripada saya. kalau terasa sentap dengan ketajaman perkataan yang bakal saya taip nanti, bukanlah KTR atau blog ini yang harus dicari, tapi cari dan serang saya di blog peribadi saya di http://haikalfadzil.blogspot.com ye...

Tirai festival ditutup dengan persembahan daripada Kelab Teater Rimba UKM, dengan naskhah bertajuk 'Peminangan' adaptasi daripada karya Anton Chekhov bertajuk 'The Marriage Proposal' di mana saya bertugas sebagai ketua bahagian setting dibantu oleh saudari Aisyah, Asri, Pejal, dan Zul. Thank you so much kepada anak-anak buah dan cik Asri Daud yang banyak membantu untuk merealisasikan idea saya untuk teater Peminangan ini. Seperti biasa, minta maaf sebab saya tahu saya seorang yang cerewet apabila melaksanakan suatu tugasan. Namun, kita tahu kita menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan. Nasib baik UKM tak ada Kolej Teater Rimba. Kalau tak...entah-entah Anugerah Artistik Terbaik tu mesti ada saingan kan? Gagagaga...

No comments: