29 June, 2009

KTR & PTUIH! TEMPAT KE-5


Hola semua...

Minggu ini merupakan minggu yang sangat penat dan packed dengan persembahan teater dalam Festival Teater Selangor 2009. Sepanjang minggu ini, kesemua finalis telah mempersembahkan naskhah masing-masing di Auditorium Daeng Chelak di muzium Shah Alam. Senarai kumpulan dan skrip Kasawari sudah postkan di artikel sebelum ini.

Berbalik kepada malam semalam (28/06/09) merupakan malam finale/penutup festival. Majlis penutupan yang serba ringkas bermula jam 9.00 malam hingga 10:00 (sejam jer). Baiklah, Kasawari akan ringkaskan terus senarai pemenang dari ranking 5-1.

Kedudukan:

5- Superptui! & Transit Kaler Magenta (Teater Rimba)

4- Cemar (ASWA)

3- Syurga atau Neraka (RESAM)

2- Pegawai Khalwat (HIDAYAH)

JUARA- Kalut (Suara Alam)

Disimpulkan bahawa Teater Rimba tidak ada rezeki untuk mengekalkan kegemilangan seperti KTR yang dahulu. Tapi, ini sesekali tidak akan mematahkan semangat anak-anak Rimba untuk terus berjuang bagi 'memanusiakan manusia' dalam teater. Hal ini adalah seperti yang dimaklumkan oleh Kasawari dalam post yang lepas, iaitu rata-rata yang join kali ini terdiri daripada junior-junior. Ini adalah proses pembelajaran dan pengalaman serta pendedahan yang baik buat mereka semua.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam produksi ini yang telah berpenat-lelah since the very beginning. Segala pahit manis kite telah lalui bersama dan kita atasi demi mementaskan naskhah ini. Kasawari juga ingin meminta ampun dan maaf sekiranya ada menyakitkan hati dan buat silap kepada every single of you. At least post-moterm tadi telah menyelesaikan segala yang kusut dan menyedari di mana silap kita dan akan kita baiki di masa-masa akan datang dengan hasil titik peluh sendiri. Tahniah sekali lagi atas keja keras kita selama ini walau pun kita bukan JOHAN, tetapi sekurang-kurangnya kesemua JUNIOR kali ini mampu melangkah ke final dan berada di kedudukan Top 5! Tahniah sekali lagi. Kita tidak perlu pergi lari menyembunyikan diri dek malu kerana kita tahu apa yang kita buat dan sedia maklum usaha serta kemampuan kita selama ini. Berada di tempat ke-5 bukanlah satu 'jenayah', tapi satu titik permulaan yang baru bagi freshie-freshie KTR.

Yang peliknya festival tahun ini tiada anugerah sampingan seperti sebelum-sebelum ini (Pengarah, Artisitik, Pelakon Terbaik dan sebagainya). Terus-menerus je ke anugerah kumpulan terbaik mengikut kedudukan. Hanya pihak pengurusan je tahu sebabnya.

Apepun kepada KTR, masih jauh lagi perjalanan kita untuk pementasan-pementasan yang akan datang sama ada berbentuk pertandingan, undangan, sekitar UKM dan sebagainya. Teruslah bekerja keras untuk memajukan teater dengan minat dan niat yang tulus ikhlas! Percayalah, Kasawari dan anak-anak Rimba sendiri sahaja yang tahu bahawa Kelab Teater Rimba TIDAK pernah berkubur!

Selamat meneruskan perjuangan wahai warga Rimba!


p/s: sayangnyer Alumni-Alumni balik awal masa post-moterm tadi... By the way, sekalung TAHNIAH kepada Suara Alam kerana menjadi Johan untuk festival tahun ini. Selamat berjaya untuk Festival Teater Malaysia nanti...

25 June, 2009

PTUIH! SUDAH BERTOLAK

Hari pementasan Superptui! & Transit Kaler Magenta di Shah Alam

Sudah dua hari (dari tarikh artikel ditulis) berlangsungnya Festival Teater Selangor 2009 di Auditorium Daeng Chelak Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam sekali gus menyamai bilangan hari yang selesai sudah persembahan Kelab Teater Rimba dalam mementaskan Superptui! & Transit Kaler Magenta. Seperti biasa, pelbagai dugaan dan halangan kami tempuhi sepanjang proses untuk berteater menerusi naskhah ini. Namun, segalanya dapat diatasi dengan kerjasama dan semangat daripada setiap anak-anak Rimba.

Selesai sudah pementasan kami, pelbagai reaksi dan pendapat sama ada positif mahupun negatif kami peroleh, tetapi semua itu kami terima dengan hati terbuka kerana kami mengakui bahawa kami semua masih belajar dalam mengenal erti teater sejati. Kami ambil semua ini sebagai satu proses pembelajaran, pengalaman dan cabaran. Kalah atau menang kami tolak ke tepi dahulu kerana semuanya bergantung kepada kemampuan dan rezeki masing-masing. Jika ada rezeki, kami amat bersyukur kerana rata-rata pemain dan produksi kali ini terdiri daripada pelapis-pelapis KTR yang baru. Jika tiada rezeki, kami akan terima seadanya kerana dari situ kami boleh memperbaiki segala kelemahan untuk pertandingan yang akan datang. There's always a 'NEXT' in everything!

Tidak banyak yang Kasawari ingin ulaskan tentang pementasan KTR tempoh hari. Anda semua boleh komen di sini. You are feel free to do so. Kami mengalu-alukan komen dan kritikan yang membina. Di sini juga Kasawari ingin menyenaraikan kumpulan-kumpulan dan naskhah-naskhah yang bertanding sepanjang festival tahun ini.


23 Jun 2009: Kelab Teater Rimba, UKM--Superptui! & Transit Kaler Magenta


24 Jun 2009: HIDAYAH--Pegawai Khalwat


25 Jun 2009: ASWA--Cemar


26 Jun 2009: Suara Alam--Kalut


27 Jun 2009: RESAM--Syurga atau Neraka
Jadi, datanglah beramai-ramai bagi memeriahkan festival tahun ini.

19 June, 2009

JEMPUTAN BERTEMU KELUARGA SUPERPTUI!


Jadi, kepada semua penggemar teater tanah air, Alumni-Alumni Teater Rimba serta rakan-rakan seperjuangan, datanglah beramai-ramai untuk menyaksikan permentasan daripada Kelab Teater Rimba ini...

Festival Teater Selangor 2009 akan berlangsung dari 23-28 Jun 2009 ini. Sekali lagi diingatkan bahawa KTR adalah grup pertama yang bakal beraksi semasa festival tersebut nanti, iaitu 23 Jun 2009.

16 June, 2009

BAJU PRODUKSI SUPERPTUIH!

Design t-shirt produksi Superptuih! & Transit Kaler Magenta: courtesy Eddy Cencorot

Memandangkan Festival Teater Selangor 2009 semakin menghampiri (seminggu tepat je lagi dari tarikh post ni ditulis), pelbagai persediaan kami warga Rimba lakukan dari segala aspek termasuk lakonan, produksi, pengurusan dan sebagainya. Penambahbaikan juga giat dilakukan agar penyampaian kami nanti menerusi skrip SUPERPTUIH! & TRANSIT KALER MAGENTA ini sampai kepada juri dan penonton.

Dalam kesibukan kami prepare everything, Teater Rimba seperti biasa menghasilkan baju produksi untuk projek kali ini (dah hampir dua tahun takde baju produksi baru--yang latest: ARA). Segala design dan idea dilakukan oleh saudara Eddy Cencorot menerusi perahan minda dan fantasi beliau. Hehe...

Tempahan telah dilakukan dan harga seunit baju adalah RM 22 (boleh deposit RM 11 dahulu). Design yang telah dipersetujui ramai adalah seperti yang tertera kat atas. Thanx to Eddy Cencorot dan jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang design-design baju yang diterima (dan juga direject!), layarilah web Eddy sendiri. KLIK SINI!

09 June, 2009

(UPDATED!) KTR MARA KE FESTIVAL TEATER SELANGOR 2009

Hola...

Ada sedikit pengumuman di sini. Seperti yang korang baca di post-post lepas, Kasawari ada menceritakan tentang Kelab Teater Rimba dalam saringan Festival Teater Selangor 2009 yang telah berlangsung pada 4 Jun lepas.

Sukacita dimaklumkan bahawa Kelab Teater Rimba UKM telah BERJAYA melangkah ke finale Festival Teater Selangor 2009 yang bakal berlangsung pada 23 Jun (bukan 22 Jun) ke atas nanti. Banyak lagi yang perlu kami perbaiki baik dari segi lakonan, teknikal, terjemahan skrip dan sebagainya bagi memastikan kejayaan dalam finale nanti menerusi naskhah SUPERPTUIH! & TRANSIT KALER MAGENTA.

Jadi, diharapkan semua KTRians yang terlibat melipatgandakan lagi usaha dalam naskhah ini dan doakan kejayaan kami ek?

p/s: ada sedikit UPDATE mengenai kumpulan-kumpulan yang layak ke finale FTS 09 ni. Selain Kelab Teater Rimba, kumpulan seperti RESAM, HIDAYAH, SUARA ALAM dan ASWA turut akan berentap di pentas akhir nanti. Info ini Kasawari peroleh daripada Suara Alam. Thanx Suara... Dan baru-baru ini juga, Teater Rimba telah pergi mencabut undi untuk menentukan giliran persembahan semasa finale nanti. Kelab Teater Rimba merupakan kumpulan PERTAMA yang beraksi, iaitu pada 23 Jun 2009.

04 June, 2009

DARI SUDUT PANDANGAN MISLINA


Post kali ini saje Kasawari selitkan sinopsis dan pandangan tentang naskhah SUPERPTUIH! & TRANSIT KALER MAGENTA yang bakal dipentaskan oleh Kelab Teater Rimba di saringan Festival Teater Selangor 2009 pada malam ini (04 Jun 2009). Sinopsis ini adalah berdasarkan apa yang ditulis oleh Mislina Mustaffa yang merupakan pelakon (Otak Tak Centre, Alang Rentak Seribu, dan Bangau, Oh Bangau, juga pelakon filem Talentime) dan pengarah (Till Death Do Us Part dan Waiting for Godot).

"Sinopsis persembahan ini memang epik. Inilah cubaan saya untuk meringkasnya: Ptuih! (nama protagonis) yang rebel bertengkar dengan bapak dan dihalau keluar. Helium Si Gas Nadir, abang Ptuih! yang sedikit autisme mengikut Ptuih! hingga ke stesen transit. Ptuih! merupakan bagai Superman kepada Helium, yang sentiasa memeluk patung Tweety. Helium memujuk Ptuih! supaya tidak pergi. Bapak pula menghantar Maseh Dara, kakak tengah supaya membawa Helium balik. Lalu terjadi pertengkaran antara Ptuih! dan Maseh Dara, yang rupa-rupanya adalah ‘sex toy’ bapa mereka. Bila Maseh Dara cuba membawa Helium balik, Ptuih! menghalang, malah menjual Maseh Dara pada Pengawal Keselamatan Stesen. Kemudian, Ptuih! memujuk dan menggunakan kelemahan Helium sebagai senjatanya untuk meneruskan misinya – bunuh bapak.

Superptuih! & Transit Kaler Magenta, tulisan dan arahan Wan Azli Wan Jusoh, adalah sebuah cerita kejatuhan yang tragik. Ia boleh kita jadikan bahan rujukan semasa yang aktif untuk kita melihat kembali perang saraf yang melanda anak-anak muda waktu ini untuk kita jadikan iktibar. Idea dan teksnya bersifat global, boleh diadaptasikan mengikut isu dan peradaban mana-mana bangsa, kerana ia bukan sahaja sebuah kejatuhan peribadi tetapi keruntuhan ketamadunan kemanusiaan keseluruhannya. Dengan mengambil latarbelakang Malaysia kini, konflik sosio-budaya-ekonomi-politik dilihat sebagai pemangkin penting dalam pembentukan eksistensi anak-anak muda yang terperangkap. Terperangkap di dalam ruang masa, ruang logik, ruang kenangan lampau, ruang ugama dan sebagainya. Kesemuanya bercampur-baur dan bertempur di dalam balang tuntutan materialisme. Masing-masing ingin mencari ruang untuk bernafas, ruang untuk menjadi manusia tenang dan sederhana. Dalam usaha untuk meminimalkan kadar absurditi inilah, konflik tercetus dan perkelahian prinsipal berlaku. Oleh kerana sistem yang dulunya menjadi pedoman kini sudah tidak mampu lagi untuk memberi jawapan, jalan mudahnya adalah, keluar dari sistem tersebut atau runtuhkan sahaja ia.

Inilah yang berlaku kepada Ptuih!, Helium dan Maseh Dara yang pecah sahsiah diri akibat Bapak yang sudah tidak mampu lagi untuk berfungsi sebagai super-ego mereka. Bapak sepatutnya menjadi super-hero yang menyelamatkan dunia tetapi gagal. Puncanya, dari seekor burung helang bermata tajam, dia telah bertukar menjadi ular yang tamak, membelit keseluruhan sistem lantas menjadi raja. Lidahnya berbisa. Maseh Dara terperangkap dalam janji-janji manis status dan kebendaan. Ptuih! terperangkap dalam kata-kata nista dan kebencian. Dan Helium pula, seperti sebuah globe yang terperangkap diantara 2 paksi, hanya mampu berputar-putar didalam wilayah kebingungan ini dan akhirnya pecah. Mereka adalah mangsa. Apa yang kita tonton di atas pentas adalah impak. Puncanya tersembunyi dan seperti ular, masih merayap dalam diam mencari mangsa seterusnya. Lalu apa yang lebih penting untuk kita bicarakan di sini adalah bapak yang tidak muncul di atas pentas itu. Dialah sistem yang mengakibatkan keruntuhan setragis itu. Dan dia ular yang masih hidup.

Walau bagaimanapun, bicara tentang sistem dan impak positif negatifnya adalah sebuah bicara yang mual. Setiap saat kita disogok dengan sistem-sistem yang dibina dari logika akal yang bertahap super. Setiap saat juga kita menonton kemusnahan berpunca dari sistem-sistem ini. Kita bingung. Tidak tahu apa lagi yang harus kita perbetulkan kerana kalaulah sistem akal manusia yang paling logik pun sudah tidak mampu berfungsi lagi, dari mana lagi harus kita cari jawapan untuk kedamaian kemanusiaan kita?

Tambahan pula, ini zaman kemuncak akal. Membikin sistem bukanlah sesuatu yang sukar. Segalanya di hujung jari. Makanan segera, wang segera, kepuasan segera dan baru-baru ini, demam reality TV yang menjanjikan emosi segera, menjadi sistem kehidupan kita. Bayangkan, apabila ‘kesegeraan’ menjadi super-hero yang menyelamatkan hari-hari kita, apakah yang akan terjadi kepada pembentukan kemanusiaan kita? Eksistensi segera juga bermaksud kematian yang segera.

Jawapannya, kerna kehidupan kita sudah jadi sesegera komik, kita harus berusaha semula menjadi manusia. Tak perlu jadi Superman dan jangan pula jadi Tweety."


Inilah gambaran dan pandangan Mislina tentang naskhah ini. Jadi doakan kejayaan KTR untuk membolosi finale Festival Teater Selangor 2009!


p/s: dengar-dengar kemungkinan besar penulis skrip ini, Wan Azli akan datang ke saringan kami, sekali gus mengintai bakat baru untuk his next film project!

01 June, 2009

AWUNDI YUZZ


AWUNDI YUZZ ke 32999



Hola semua!!! Ada sedikit infotainment kepada anda semua. Bagi yang mengenali Teater Rimba, adakah anda mengenali jejaka di dalam gambar di atas? Semakin segak dan kacak kan? Tak lain tak bukan, si Yufazli Yusof atau lebih dikenali sebagai Yus (nama Rimba=Seladang) di dalam KTR.

Kepada sesiapa yang masih blur-blur lagi, Yus dalam diam rupanya telah berjaya membariskan diri sebagai finalis dalam program realiti terbaru terbitan Astro yang berbentuk lakonan, iaitu Anak Wayang. Wah, nampaknya rezeki Yus mencurah-curah dan bakal menjadi seorang bintang selepas ni. Cemburunya Kasawari. Huhu...

"Jadi, 25 peserta tadi telah dipecah-pecahkan kepada 5 kumpulan dan mereka hanya akan bertanding bagi salah satu watak sahaja mengikut kesesuaian masing-masing. Setiap Jumaat, menerusi Pentas Anak Wayang di Astro Ria, anda akan dapat melihat setiap kumpulan dengan 5 peserta itu bersaing untuk merebut watak masing-masing dan kemudian berpeluang berlakon dalam siri Kecuali Cintamu di Astro Prima yang mula ditayangkan sekarang (Isnin - Jumaat). Seterusnya, daripada 5 peserta, hanya 2 terbaik sahaja akan terpilih untuk diundi (AWUNDI), bermula Jumaat, jam 10.30 malam hingga Ahad jam 12 tengah hari. Keputusan siapa terpilih antara 2 peserta itu akan hanya kita ketahui dengan menonton siri Kecuali Cintamu di Astro Prima pada hari berikutnya, Isnin, jam 8.30 malam."- sumber daripada Murai.com.my

Yus akan merebut watak sebagai Konco Samseng (macam dah ada rupa dah!) dan saingan untuk kumpulan beliau akan ditayangkan pada 26 Jun 2009. Bagi mengundi (AWUNDI) mereka, sila taip AWUNDI NAMA atau AWUNDI,3/5/10>NAMA PESERTA ke 32999. Contoh: AWUNDI3 YUZZ ke 32999. Talian Tetap: Dail 13721/13723/13725/13730 untuk 1/3/5/10 undian dan tekan 1. Kadar premium untuk setiap undian 50 sen.

Jadi, jom kita undi Yus berama-ramai dan pastikan Yus ke final! Kasawari percaya kepada bakat Yus! Yus boleh! Kami warga Rimba akan sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan Yus! Yeay...!


p/s: tarikh artikel ini dipostkan (1 Jun 2009) adalah bersamaan dengan tarikh/hari pernikahan Noor Faliza Hanim Roslan atau Ayu (mantan YDP KTR) di Perlis. Kami warga Rimba memohon ampun dan maaf kerana tidak dapat hadir ke majlis pernikahan Kak Ayu kerana terikat dengan komitmen FTS 09. Kami doakan kebahagiaan Kak Ayu bersama suami tercinta ke hingga ke akhir hayat! Amin... Tahniah...