04 June, 2009

DARI SUDUT PANDANGAN MISLINA


Post kali ini saje Kasawari selitkan sinopsis dan pandangan tentang naskhah SUPERPTUIH! & TRANSIT KALER MAGENTA yang bakal dipentaskan oleh Kelab Teater Rimba di saringan Festival Teater Selangor 2009 pada malam ini (04 Jun 2009). Sinopsis ini adalah berdasarkan apa yang ditulis oleh Mislina Mustaffa yang merupakan pelakon (Otak Tak Centre, Alang Rentak Seribu, dan Bangau, Oh Bangau, juga pelakon filem Talentime) dan pengarah (Till Death Do Us Part dan Waiting for Godot).

"Sinopsis persembahan ini memang epik. Inilah cubaan saya untuk meringkasnya: Ptuih! (nama protagonis) yang rebel bertengkar dengan bapak dan dihalau keluar. Helium Si Gas Nadir, abang Ptuih! yang sedikit autisme mengikut Ptuih! hingga ke stesen transit. Ptuih! merupakan bagai Superman kepada Helium, yang sentiasa memeluk patung Tweety. Helium memujuk Ptuih! supaya tidak pergi. Bapak pula menghantar Maseh Dara, kakak tengah supaya membawa Helium balik. Lalu terjadi pertengkaran antara Ptuih! dan Maseh Dara, yang rupa-rupanya adalah ‘sex toy’ bapa mereka. Bila Maseh Dara cuba membawa Helium balik, Ptuih! menghalang, malah menjual Maseh Dara pada Pengawal Keselamatan Stesen. Kemudian, Ptuih! memujuk dan menggunakan kelemahan Helium sebagai senjatanya untuk meneruskan misinya – bunuh bapak.

Superptuih! & Transit Kaler Magenta, tulisan dan arahan Wan Azli Wan Jusoh, adalah sebuah cerita kejatuhan yang tragik. Ia boleh kita jadikan bahan rujukan semasa yang aktif untuk kita melihat kembali perang saraf yang melanda anak-anak muda waktu ini untuk kita jadikan iktibar. Idea dan teksnya bersifat global, boleh diadaptasikan mengikut isu dan peradaban mana-mana bangsa, kerana ia bukan sahaja sebuah kejatuhan peribadi tetapi keruntuhan ketamadunan kemanusiaan keseluruhannya. Dengan mengambil latarbelakang Malaysia kini, konflik sosio-budaya-ekonomi-politik dilihat sebagai pemangkin penting dalam pembentukan eksistensi anak-anak muda yang terperangkap. Terperangkap di dalam ruang masa, ruang logik, ruang kenangan lampau, ruang ugama dan sebagainya. Kesemuanya bercampur-baur dan bertempur di dalam balang tuntutan materialisme. Masing-masing ingin mencari ruang untuk bernafas, ruang untuk menjadi manusia tenang dan sederhana. Dalam usaha untuk meminimalkan kadar absurditi inilah, konflik tercetus dan perkelahian prinsipal berlaku. Oleh kerana sistem yang dulunya menjadi pedoman kini sudah tidak mampu lagi untuk memberi jawapan, jalan mudahnya adalah, keluar dari sistem tersebut atau runtuhkan sahaja ia.

Inilah yang berlaku kepada Ptuih!, Helium dan Maseh Dara yang pecah sahsiah diri akibat Bapak yang sudah tidak mampu lagi untuk berfungsi sebagai super-ego mereka. Bapak sepatutnya menjadi super-hero yang menyelamatkan dunia tetapi gagal. Puncanya, dari seekor burung helang bermata tajam, dia telah bertukar menjadi ular yang tamak, membelit keseluruhan sistem lantas menjadi raja. Lidahnya berbisa. Maseh Dara terperangkap dalam janji-janji manis status dan kebendaan. Ptuih! terperangkap dalam kata-kata nista dan kebencian. Dan Helium pula, seperti sebuah globe yang terperangkap diantara 2 paksi, hanya mampu berputar-putar didalam wilayah kebingungan ini dan akhirnya pecah. Mereka adalah mangsa. Apa yang kita tonton di atas pentas adalah impak. Puncanya tersembunyi dan seperti ular, masih merayap dalam diam mencari mangsa seterusnya. Lalu apa yang lebih penting untuk kita bicarakan di sini adalah bapak yang tidak muncul di atas pentas itu. Dialah sistem yang mengakibatkan keruntuhan setragis itu. Dan dia ular yang masih hidup.

Walau bagaimanapun, bicara tentang sistem dan impak positif negatifnya adalah sebuah bicara yang mual. Setiap saat kita disogok dengan sistem-sistem yang dibina dari logika akal yang bertahap super. Setiap saat juga kita menonton kemusnahan berpunca dari sistem-sistem ini. Kita bingung. Tidak tahu apa lagi yang harus kita perbetulkan kerana kalaulah sistem akal manusia yang paling logik pun sudah tidak mampu berfungsi lagi, dari mana lagi harus kita cari jawapan untuk kedamaian kemanusiaan kita?

Tambahan pula, ini zaman kemuncak akal. Membikin sistem bukanlah sesuatu yang sukar. Segalanya di hujung jari. Makanan segera, wang segera, kepuasan segera dan baru-baru ini, demam reality TV yang menjanjikan emosi segera, menjadi sistem kehidupan kita. Bayangkan, apabila ‘kesegeraan’ menjadi super-hero yang menyelamatkan hari-hari kita, apakah yang akan terjadi kepada pembentukan kemanusiaan kita? Eksistensi segera juga bermaksud kematian yang segera.

Jawapannya, kerna kehidupan kita sudah jadi sesegera komik, kita harus berusaha semula menjadi manusia. Tak perlu jadi Superman dan jangan pula jadi Tweety."


Inilah gambaran dan pandangan Mislina tentang naskhah ini. Jadi doakan kejayaan KTR untuk membolosi finale Festival Teater Selangor 2009!


p/s: dengar-dengar kemungkinan besar penulis skrip ini, Wan Azli akan datang ke saringan kami, sekali gus mengintai bakat baru untuk his next film project!

01 June, 2009

AWUNDI YUZZ


AWUNDI YUZZ ke 32999



Hola semua!!! Ada sedikit infotainment kepada anda semua. Bagi yang mengenali Teater Rimba, adakah anda mengenali jejaka di dalam gambar di atas? Semakin segak dan kacak kan? Tak lain tak bukan, si Yufazli Yusof atau lebih dikenali sebagai Yus (nama Rimba=Seladang) di dalam KTR.

Kepada sesiapa yang masih blur-blur lagi, Yus dalam diam rupanya telah berjaya membariskan diri sebagai finalis dalam program realiti terbaru terbitan Astro yang berbentuk lakonan, iaitu Anak Wayang. Wah, nampaknya rezeki Yus mencurah-curah dan bakal menjadi seorang bintang selepas ni. Cemburunya Kasawari. Huhu...

"Jadi, 25 peserta tadi telah dipecah-pecahkan kepada 5 kumpulan dan mereka hanya akan bertanding bagi salah satu watak sahaja mengikut kesesuaian masing-masing. Setiap Jumaat, menerusi Pentas Anak Wayang di Astro Ria, anda akan dapat melihat setiap kumpulan dengan 5 peserta itu bersaing untuk merebut watak masing-masing dan kemudian berpeluang berlakon dalam siri Kecuali Cintamu di Astro Prima yang mula ditayangkan sekarang (Isnin - Jumaat). Seterusnya, daripada 5 peserta, hanya 2 terbaik sahaja akan terpilih untuk diundi (AWUNDI), bermula Jumaat, jam 10.30 malam hingga Ahad jam 12 tengah hari. Keputusan siapa terpilih antara 2 peserta itu akan hanya kita ketahui dengan menonton siri Kecuali Cintamu di Astro Prima pada hari berikutnya, Isnin, jam 8.30 malam."- sumber daripada Murai.com.my

Yus akan merebut watak sebagai Konco Samseng (macam dah ada rupa dah!) dan saingan untuk kumpulan beliau akan ditayangkan pada 26 Jun 2009. Bagi mengundi (AWUNDI) mereka, sila taip AWUNDI NAMA atau AWUNDI,3/5/10>NAMA PESERTA ke 32999. Contoh: AWUNDI3 YUZZ ke 32999. Talian Tetap: Dail 13721/13723/13725/13730 untuk 1/3/5/10 undian dan tekan 1. Kadar premium untuk setiap undian 50 sen.

Jadi, jom kita undi Yus berama-ramai dan pastikan Yus ke final! Kasawari percaya kepada bakat Yus! Yus boleh! Kami warga Rimba akan sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan Yus! Yeay...!


p/s: tarikh artikel ini dipostkan (1 Jun 2009) adalah bersamaan dengan tarikh/hari pernikahan Noor Faliza Hanim Roslan atau Ayu (mantan YDP KTR) di Perlis. Kami warga Rimba memohon ampun dan maaf kerana tidak dapat hadir ke majlis pernikahan Kak Ayu kerana terikat dengan komitmen FTS 09. Kami doakan kebahagiaan Kak Ayu bersama suami tercinta ke hingga ke akhir hayat! Amin... Tahniah...

29 May, 2009

Akhirnya SUPERPTUIH!




Salamz kepada semua pembaca blog...

Bulan Jun nanti merupakan bulan yang Teater Rimba tunggu dan debarkan. Perkara yang dimaksudkan di sini adalah FESTIVAL TEATER SELANGOR 2009. Pelbagai cabaran dan halangan kami tempuh untuk merealisasikan penyertaan kami dalam pertandingan yang boleh dikatakan berprestij ini. Terutama dalam pemilihan naskhah. Bermula dengan mencalonkan naskhah DHEMIT/ARA, kemudian PERKAHWINAN 'versi ARA', TITIK-TITIK HITAM (again!) dan macam-macam lagi. Disebabkan bilangan penyertaan warga Rimba kali ini agak berkurangan (disebabkan ramai praktikal), akhirnya kami sebulat suara memilih skrip tempatan, iaitu SUPERPTUIH! & TRANSIT KALER MAGENTA.

Bagi sesiapa yang pernah mengikuti Festival Teater Universiti (Inter-kolej UKM) sekitar Julai 2008 pasti mengenali naskhah ini kerana pernah dipentaskan oleh Kolej Dato Onn yang berjaya menggondol tempat kedua dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Kali ini, KTR cuba untuk mempertaruhkan skrip ini di peringkat Selangor bagi bersaing dengan sanggar-sanggar teater yang lain. Naskhah yang boleh disifatkan surealis dan berat ini dikarya oleh Wan Azli Wan Jusoh (Pengarah filem Budak Kelantan) dan menuntut kekuatan serta penghayatan yang baik oleh para pemain.

Ringkasnya, jalan cerita dan plot naskhah ini agak subjektif dari segi isi kandungannya yang boleh merujuk kepada pergolakan keluarga, negara, pemimpin dan sebagainya. Ptuih! seorang yang memberontak dan disisih kerana cuba menegakkan apa yang dirasakan benar; Helium seorang yang bijak pandai tetapi terlalu tersepit dengan pemikiran sendiri; dan Maseh Dara., seorang yang terlalu menurut perintah sehingga maruah tergadai.

Untuk makluman, KTR akan mengadakan dry run pada 30 Mei, full rehersal pada 1 Jun dan juga preview/pra-finale/saringan pada 4 Jun ini dihadapan juri dari Jabatan Kebudayaan Selangor bagi menentukan sama ada kami layak ke final pada 22-30 Jun nanti atau tidak. Jadi, wish us luck and doakan kejayaan kami ke peringkat final, ok?



Skrip: SUPERPTUIH! & TRANSIT KALER MAGENTA

Karya: Wan Azli Wan Jusoh

Arahan: Mohd. Faizal (Pejal Belangkas)

Pelakon: Lan Celak (Ptuih!), Mat (Helium), Laili (Maseh Dara.) dan Aran Crikwong (Pengawal)


DRY RUN

Tarikh: 30 Mei 2009

Masa: 10 p.m.

Tempat: Panggung Seni, UKM


FULL REHERSAL

Tarikh: 1 Jun 2009

Masa: 10 p.m.

Tempat: Panggung Seni, UKM


PREVIEW FTS 09

Tarikh: 4 Jun 2009

Masa: 8:30 p.m.

Tempat: Panggung Seni, UKM



p/s: semua dijemput hadir dan bebas memberi komen dan kritikan membina bagi memperbaiki lagi mutu persembahan dan produksi kami.
**UPDATE: keputusan menentukan sama ada mara ke final akan diumumkan pada 8 jun 2009 (Isnin).



"Kau tahu? Kalau seseorang tu dalam hidup dia asyik kena ludah, lama-lama dah lali, dah tepu, dah tak kisah lagi. Nak ludah pun, ludahlah!"