29 July, 2008

FTU Review - ATAP GENTING ATAP RUMBIA (Kolej Burhanuddin Helmi)


Persembahan dari kumpulan TEKAD ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh warga UKM setelah rekod cemerlang mereka dalam pertandingan teater muzikal yang berdurasi 10 - 15 minit yang sering dianjurkan di dalam UKM. Maka, show TEKAD amat dinantikan dengan beberapa soalan bermain di minda saya seperti, "Mampukah mereka untuk turut cemerlang dalam bentuk teater sebegini?", "bagaimanakah stamina mereka untuk bertahan dalam tempoh masa pertandingan selama satu setengah jam ini?" Malah sebelum festival bermula lagi, urusetia festival dan ahli-ahli KTR diberitakan dengan khabar-khabar menakjubkan daripada latihan kumpulan ini, membuatkan kami tidak sabar menonton show mereka. Namun begitu, bak kata orang, indah khabar dari rupa. Walaupun setting teater ni boleh dikatakan gah, namun ianya tidak cukup membantu apabila tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Dengan persembahan lebih 2 jam sudah cukup membuatkan kumpulan ini tersingkir daripada merangkul johan walau sehebat mana persembahan yang dilakukan. Dan pada malam keputusan, segalanya terbukti dengan TEKAD hanya memperoleh Anugerah Artistik Terbaik dan tewas dalam kategori yang lain. Mungkin ramai ahli-ahli TEKAD tertanya-tanya mengapa mereka tewas dengan begitu teruk sedangkan mereka merasakan telah mempersembahkan sebuah teater yang begitu hebat. Kini saya berikan faktornya...

Attitude. Sepanjang proses persiapan kebanyakan budak-budak kelihatan begitu sombong, kerek, kekwat dan pelbagai lagi. Mungkin u all deserve untuk buat perangai macam itu lepas menang macam-macam pertandingan dan dah terbang sampai ke Filipina. KTR pun pernah kerek, kekwat dan sombong dan kami telah mendapat akibat daripadanya. Maka, dengan melihat perangai sebegitu wujud dalam kumpulan ini, saya dah menjangkakan takkan ke mana mereka ini dalam festival ini. Tambahan pula, wujud mereka yang bermulut busuk mengkritik persembahan orang lain seolah-olah merekalah yang paling pandai dalam bidang teater ini. KTR baru sahaja memikirkan untuk memberi peluang kepada TEKAD untuk membawa nama UKM di festival teater MAKUM akan datang, namun dengan melihatkan sikap yang ditunjukkan oleh ahli-ahlinya, rasanya tak payahlah dihantar kumpulan ini. Buat malu UKM saja kerana perangai bodoh sombong sebegini nak dibawa bersaing dengan kumpulan-kumpulan hebat dari UM, UITM, USM dan pelbagai lagi IPTA yang mempunyai fakulti seni persembahan? Rasa-rasanya budak KTR ingat lagi bagaimana perangai ini menghancurkan kumpulan yang mempersembahkan Mahkamah Keadilan waktu MAKUM yang lalu. Perangai yang sama juga berlaku pada kebanyakan ahli-ahli dari TEKAD ini.

Masa. Dengan jelas, persembahan TEKAD melebihi hampir 40 minit daripada waktu pertandingan yang ditetapkan. Bukan setakat itu sahaja, dengan cerita yang tidak diolah dengan sebaiknya, kebanyakan penonton semakin bosan dan letih menunggu bilakah cerita ini akan tamat. Melalui pemerhatian saya, ramai juga penonton yang pada awalnya tertarik untuk menonton namun lama kelamaan satu persatu mula keluar dari panggung dan terus ke gerai-gerai di luar panggung. Ada juga setelah beberapa ketika di luar, mereka masuk kembali ke panggung dan berkata, "Tak habis-habis lagi?". Juri? hanya Fadillah yang setia duduk di kerusi juri dari awal sampai habis, lagi dua keluar pergi minum kejap. Masuk bilik VIP lena kejap. dan macam-macam lagi.


Watak. Hanya Temah sahaja yang menarik perhatian dan menghidupkan cerita. Yang lain suam-suam kuku sahaja. Watak perempuannya boleh dikatakan serupa sahaja. Tidak ada kepelbagaian. Penggunaan pelbagai loghat pula membuatkan saya keliru, dimanakah kejadian ini berlaku. Kabur dari segi latar tempat. Watak lelaki tiada satu pun yang menonjol.

Pengarahan. Tak tahulah kalau pengarah cerita tersebut hanya diletakkan sebagai pengarah atas nama sahaja, wallahualam tapi apabila melihat saja pengarah bagi teater tersebut, maka tidak hairanlah watak-watak perempuan mereka sama sahaja fi'ilnya. Pelakon tidak dikoreografkan pergerakan dengan sebaik mungkin. Lihat sahaja babak di rumah kampung, 4 pelakon berada di beranda rumah, duduk sebaris bersembang-sembang bagaikan ada multicamera yang sedang shoot close-up mereka sahaja. Set yang gah tidak digunakan, lebih baik hanya bina beranda rumah saja daripada membina keseluruhan set rumah tapi tidak digunakan. Pujian diberikan kepada kumpulan ini yang dapat mewujudkan satu line up pemuzik yang boleh dikatakan mengalahkan line up KTR tapi sayang, kelebihan yang ada tidak digunakan sepenuhnya. Pemuzik hanya digunakan hanya pada peralihan babak, sedangkan banyak lagi boleh dibuat melalui adanya pemuzik live.


Intro hancur. intro memainkan peranan penting dalam satu persembahan. kalau intro best dan mantap sekurangnya dapat membuatkan penonton tertarik untuk kekal di tempat duduk sepanjang persembahan. Namun apa yang terjadi pada TEKAD, intronya hancur. Syair yang dialunkan tak serupa syair, membuatkan pada awal persembahan lagi sudah berlaku slack.

Mungkin juri tak mahu bagi kumpulan ini kecil hati dengan komen-komennya, maka pada malam dialog dengan juri, mereka hanya mengatakan kumpulan ini hanya slack dari segi masa persembahan. Namun, sebenarnya, urusetia festival mengetahui dengan lebih mendalam apa yang dikomen oleh juri semasa berada dalam bilik VIP di panggung seni. Melihatkan komen juri yang ditulis tangan di satu kertas A4 penuh, membayangkan betapa kesiannya saya pada kumpulan TEKAD ini.

Pujian lagi saya berikan kepada ahli-ahli setting yang dapat membina sebuah set yang gah. Set rumah moden dan sebuah set rumah kampung. Nampak ada kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli produksi TEKAD. Namun begitu, sayang. Kesilapan yang terlampau banyak memadam segala kelebihan yang ditonjolkan melalui set. Nasihat saya, banyakkan lagi memahami konsep membina set. Set yang ditonjolkan dalam teater itu masih lagi terdapat kelemahan dari segi blocking. Anda perlu faham bentuk pentas sebelum anda mereka cipta dan membina set yang sesuai dengan pentas yang ingin digunakan.


Diharap festival baru-baru ini sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada kumpulan TEKAD supaya sedar, mereka masih kerdil dalam bidang ini. KTR pernah membangga diri dan telah mendapat akibat daripadanya. Bagi saya apa yang penting kejayaan sesuatu kumpulan adalah dari segi attitude ahlinya. Zaman sekarang Tuhan jenis bayar cash ke atas apa yang kita buat.
Melihatkan persembahan kumpulan ini, saya terpaksa mengosongkan satu tempat dalam top 3 saya yang telah dikhaskan kepada kumpulan ini. Dan segalanya terbukti pada malam keputusan tersebut. Iktibar... belajarlah daripada kesilapan.

No comments: