29 July, 2008

FTU Review - ATAP GENTING ATAP RUMBIA (Kolej Burhanuddin Helmi)


Persembahan dari kumpulan TEKAD ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh warga UKM setelah rekod cemerlang mereka dalam pertandingan teater muzikal yang berdurasi 10 - 15 minit yang sering dianjurkan di dalam UKM. Maka, show TEKAD amat dinantikan dengan beberapa soalan bermain di minda saya seperti, "Mampukah mereka untuk turut cemerlang dalam bentuk teater sebegini?", "bagaimanakah stamina mereka untuk bertahan dalam tempoh masa pertandingan selama satu setengah jam ini?" Malah sebelum festival bermula lagi, urusetia festival dan ahli-ahli KTR diberitakan dengan khabar-khabar menakjubkan daripada latihan kumpulan ini, membuatkan kami tidak sabar menonton show mereka. Namun begitu, bak kata orang, indah khabar dari rupa. Walaupun setting teater ni boleh dikatakan gah, namun ianya tidak cukup membantu apabila tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Dengan persembahan lebih 2 jam sudah cukup membuatkan kumpulan ini tersingkir daripada merangkul johan walau sehebat mana persembahan yang dilakukan. Dan pada malam keputusan, segalanya terbukti dengan TEKAD hanya memperoleh Anugerah Artistik Terbaik dan tewas dalam kategori yang lain. Mungkin ramai ahli-ahli TEKAD tertanya-tanya mengapa mereka tewas dengan begitu teruk sedangkan mereka merasakan telah mempersembahkan sebuah teater yang begitu hebat. Kini saya berikan faktornya...

Attitude. Sepanjang proses persiapan kebanyakan budak-budak kelihatan begitu sombong, kerek, kekwat dan pelbagai lagi. Mungkin u all deserve untuk buat perangai macam itu lepas menang macam-macam pertandingan dan dah terbang sampai ke Filipina. KTR pun pernah kerek, kekwat dan sombong dan kami telah mendapat akibat daripadanya. Maka, dengan melihat perangai sebegitu wujud dalam kumpulan ini, saya dah menjangkakan takkan ke mana mereka ini dalam festival ini. Tambahan pula, wujud mereka yang bermulut busuk mengkritik persembahan orang lain seolah-olah merekalah yang paling pandai dalam bidang teater ini. KTR baru sahaja memikirkan untuk memberi peluang kepada TEKAD untuk membawa nama UKM di festival teater MAKUM akan datang, namun dengan melihatkan sikap yang ditunjukkan oleh ahli-ahlinya, rasanya tak payahlah dihantar kumpulan ini. Buat malu UKM saja kerana perangai bodoh sombong sebegini nak dibawa bersaing dengan kumpulan-kumpulan hebat dari UM, UITM, USM dan pelbagai lagi IPTA yang mempunyai fakulti seni persembahan? Rasa-rasanya budak KTR ingat lagi bagaimana perangai ini menghancurkan kumpulan yang mempersembahkan Mahkamah Keadilan waktu MAKUM yang lalu. Perangai yang sama juga berlaku pada kebanyakan ahli-ahli dari TEKAD ini.

Masa. Dengan jelas, persembahan TEKAD melebihi hampir 40 minit daripada waktu pertandingan yang ditetapkan. Bukan setakat itu sahaja, dengan cerita yang tidak diolah dengan sebaiknya, kebanyakan penonton semakin bosan dan letih menunggu bilakah cerita ini akan tamat. Melalui pemerhatian saya, ramai juga penonton yang pada awalnya tertarik untuk menonton namun lama kelamaan satu persatu mula keluar dari panggung dan terus ke gerai-gerai di luar panggung. Ada juga setelah beberapa ketika di luar, mereka masuk kembali ke panggung dan berkata, "Tak habis-habis lagi?". Juri? hanya Fadillah yang setia duduk di kerusi juri dari awal sampai habis, lagi dua keluar pergi minum kejap. Masuk bilik VIP lena kejap. dan macam-macam lagi.


Watak. Hanya Temah sahaja yang menarik perhatian dan menghidupkan cerita. Yang lain suam-suam kuku sahaja. Watak perempuannya boleh dikatakan serupa sahaja. Tidak ada kepelbagaian. Penggunaan pelbagai loghat pula membuatkan saya keliru, dimanakah kejadian ini berlaku. Kabur dari segi latar tempat. Watak lelaki tiada satu pun yang menonjol.

Pengarahan. Tak tahulah kalau pengarah cerita tersebut hanya diletakkan sebagai pengarah atas nama sahaja, wallahualam tapi apabila melihat saja pengarah bagi teater tersebut, maka tidak hairanlah watak-watak perempuan mereka sama sahaja fi'ilnya. Pelakon tidak dikoreografkan pergerakan dengan sebaik mungkin. Lihat sahaja babak di rumah kampung, 4 pelakon berada di beranda rumah, duduk sebaris bersembang-sembang bagaikan ada multicamera yang sedang shoot close-up mereka sahaja. Set yang gah tidak digunakan, lebih baik hanya bina beranda rumah saja daripada membina keseluruhan set rumah tapi tidak digunakan. Pujian diberikan kepada kumpulan ini yang dapat mewujudkan satu line up pemuzik yang boleh dikatakan mengalahkan line up KTR tapi sayang, kelebihan yang ada tidak digunakan sepenuhnya. Pemuzik hanya digunakan hanya pada peralihan babak, sedangkan banyak lagi boleh dibuat melalui adanya pemuzik live.


Intro hancur. intro memainkan peranan penting dalam satu persembahan. kalau intro best dan mantap sekurangnya dapat membuatkan penonton tertarik untuk kekal di tempat duduk sepanjang persembahan. Namun apa yang terjadi pada TEKAD, intronya hancur. Syair yang dialunkan tak serupa syair, membuatkan pada awal persembahan lagi sudah berlaku slack.

Mungkin juri tak mahu bagi kumpulan ini kecil hati dengan komen-komennya, maka pada malam dialog dengan juri, mereka hanya mengatakan kumpulan ini hanya slack dari segi masa persembahan. Namun, sebenarnya, urusetia festival mengetahui dengan lebih mendalam apa yang dikomen oleh juri semasa berada dalam bilik VIP di panggung seni. Melihatkan komen juri yang ditulis tangan di satu kertas A4 penuh, membayangkan betapa kesiannya saya pada kumpulan TEKAD ini.

Pujian lagi saya berikan kepada ahli-ahli setting yang dapat membina sebuah set yang gah. Set rumah moden dan sebuah set rumah kampung. Nampak ada kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli produksi TEKAD. Namun begitu, sayang. Kesilapan yang terlampau banyak memadam segala kelebihan yang ditonjolkan melalui set. Nasihat saya, banyakkan lagi memahami konsep membina set. Set yang ditonjolkan dalam teater itu masih lagi terdapat kelemahan dari segi blocking. Anda perlu faham bentuk pentas sebelum anda mereka cipta dan membina set yang sesuai dengan pentas yang ingin digunakan.


Diharap festival baru-baru ini sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada kumpulan TEKAD supaya sedar, mereka masih kerdil dalam bidang ini. KTR pernah membangga diri dan telah mendapat akibat daripadanya. Bagi saya apa yang penting kejayaan sesuatu kumpulan adalah dari segi attitude ahlinya. Zaman sekarang Tuhan jenis bayar cash ke atas apa yang kita buat.
Melihatkan persembahan kumpulan ini, saya terpaksa mengosongkan satu tempat dalam top 3 saya yang telah dikhaskan kepada kumpulan ini. Dan segalanya terbukti pada malam keputusan tersebut. Iktibar... belajarlah daripada kesilapan.

FTU Review - SUPERPTUIH! & STESEN KALER MAGENTA (Kolej Dato Onn)


Ini betul-betul pancung punya kumpulan. Kumpulan pertama dalam festival ini mempersembahkan sebuah teater berbentuk absurd. Dengan bersandarkan hanya 4 orang pelakon, kumpulan ini merupakan satu-satunya kumpulan yang saya beri khidmat nasihat saya sebagai bekas penginap kolej dato onn, dan rajan sebagai felo kebudayaan kolej dato onn. waktu safwan hulur kepada saya skrip ini untuk minta pendapat, saya hanya mampu geleng kepala sebab saya sendiri pun agak penakut untuk membawa skrip ini. Bukannya apa, sebab saya tau, dengan bajet yang ciput susah untuk merealisasikan cerita ini kecuali dengan menterjemahkannya kepada bentuk absurd. Sekiranya ia diabsurdkan, maka pemain-pemain naskhah ini harus kuat dari segi perwatakan, permainan ruang, stamina dan emosi. Memandangkan keputusan telah dibuat, maka menjadi tanggungjawab rasanya untuk menasihati mana yang boleh supaya kumpulan ini dapat membuat yang terbaik pada malam persembahan dan paling penting untuk menjadikan persembahan tersebut tidak bosan serta difahami oleh penonton.


isu yang agak berat cuba disampaikan oleh pengarah kepada para penonton walaupun secara simbolikalnya adalah menggunakan watak 3 orang anak kepada seorang bapa yang dikatakan telah terpesong perjuangannya. Ptuih! melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan sikap bapanya dan menuju ke sebuah stesen merujuk kepada golongan yang suka memberontak. Manakala, abangnya Helium datang memujuk Ptuih! pulang sebagai simbol kepada golongan konservatif yang tidak menyukai pemberontakan. Manakala watak Maseh Dara pula mewakili golongan 'lembu yang dicucuk hidung'.

Pentas yang hanya dihiasi dengan 3 kain yang diikat bersama menjadikan persembahan ini berbentuk absurd. Dari pandangan saya, 3 kain yang diikat ini melambangkan tiga ideologi yang berbeza namun dapat disatukan melalui satu ikatan dan masih dapat bersatu padu walaupun ikatan (si bapa) sudah terpesong perjuangannya. Seteruk mana si bapa itu bertindak, namun ketiga-tiga anak masih selamat berada di bawah jagaannya. Tindakan Helium menembak si bapa telah merungkaikan ikatan kain ini menyebabkan mereka semua berpecah belah. Begitulah akibat daripada hasutan Ptuih! yang dilihat sebagai hero sepanjang 90% cerita berlangsung, namun pada akhirnya saya menafsirkan bahawa Ptuih! lah antagonis sebenar dalam naskhah ini, bukan si bapa.


Pujian sepenuhnya diberi kepada pelakon yang menjayakan persembahan tersebut. Setiap watak mempunyai karismanya yang tersendiri. Pak An sebagai Ptuih! berjaya membawakan watak yang penuh emosi pemusnah yang disembunyikan di sebalik wajah pemberontakan. Helium dengan seorang yang naif, memandang adiknya sebagai hero sedangkan dia tidak sedar bahawa dia sedang dieksploitasi oleh adiknya sendiri. Manakala Maseh Dara, membawakan watak seorang bohsia yang dirasakan bagi saya begitu menjadi sekali. Sebenarnya, pada malam itu, saya amat risau dan takut apabila menunggu watak Pak Guard keluar kerana sepanjang latihan mereka yang saya hadiri, pelakonnya Azmir memang bagi saya seorang yang kayu dan ketam. Saya sendiri pun buntu macam mana nak tolong dia ni. Namun, pada malam itu, dia merupakan penceria dan menghidupkan cerita. Tatkala penonton dibawa merasai ketegangan konflik, watak Guard muncul untuk menceriakan keadaan dan mereleasekan sedikit tense yang dirasai penonton. Man of the match pada malam itu bagi saya adalah Azmir. Mungkin sebab dia takut dengan amaran saya petang sebelum show. "Azmir, hang jangan buat malu team bola kita!" Hahaha...biasalah, sama-sama orang Kedah.


Menarik juga dari segi kostum, watak-watak utama dipakaikan dengan pakaian budak-budak sekolah menengah, sekaligus memberi kritikan sosial kepada golongan tersebut yang dikatakan sebagai julat umur remaja mengalami pemberontakan identiti dalam diri. Terdapat kekurangan dari segi teknik pencahayaan. Walaupun secara asasnya pentas diterangi dengan baik, namun sebagai sebuah naskhah absurd, permainan lampu boleh dipelbagaikan lagi dengan mungkin menambahkan warna-warna cahaya pada kain bagi melambangkan sesuatu. Audio juga mempunyai satu kelemahan yang ketara. Bunyi keretapi tidak meyakinkan bahawa stesen tersebut adalah stesen keretapi. Bunyi hon keretapi hanya dipasang sekali dan selepas itu diam. Logikkah begitu? Serupa dengan konsep seorang puteri raja diculik penjahat, dan kemudiannya puteri untuk menjerit meminta tolong. disebabkan dalam skrip hanya ditulis "Tolong! tolong! tolong!", maka pelakonnya pun hanya jerit 3 kali tolong sahaja lepas itu diam. Disitu adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh produksi audio pada persembahan pada malam itu.

Bagi saya persembahan pada malam itu boleh dianggap berjaya walaupun ianya satu percubaan yang berani oleh Nazrin, yang beralih ke bidang pengarahan setelah bermula dengan pelakon bagi naskah ARA pada Festival Teater MAKUM yang lalu. Bagi saya, walaupun ceritanya agak berat, namun saya terhibur menontonnya dan tidak dinafikan oleh penonton lain. Saya turut melihat dan meninjau penonton lain, boleh dikatakan kebanyakannya memberi fokus kepada cerita ditambah pula dengan lakonan Pak An yang superb pada malam tu.


tahniah diucapkan kepada kumpulan produksi kolej dato onn. Saya minta maaf sebab tak selalu tengok latihan korang. Lepas tu kalau pergi tengok, mesti melaser dan bagi ayat sentap saja kan? Saya cuba melihat Superptuih! & Stesen Kaler Magenta bukan sebagai seorang penginap dato onn, dan cuba untuk tidak bias, namun begitu, u all deserve untuk berada dalam kumpulan top 3 saya melihatkan persembahan mantap kamu semua pada malam itu. Nasihat saya, sentiasa humble, dan jangan membangga diri kerana walaupun kita hebat, pasti ada yang lebih hebat dan Tuhan itu Maha Kuasa untuk menarik balik kehebatan kita pada bila-bila masa saja.

26 July, 2008

FTU Review - KIRANA (Kolej Tun Syed Nasir)


KTSN merupakan juara festival teater UKM 2005 dengan naskhah MAHARANI. Dengar cerita naskhah tersebut dipersembahkan dengan pelbagai kesan-kesan khas yang membolehkannya merangkul juara. Sebagai juara bertahan, persembahan KTSN sememangnya dinanti-nantikan. Setelah dalam Maharani mereka berjaya mempamerkan estetika yang tinggi berlatarkan konsep arabic. Maka kali ini, naskhah KIRANA mempamerkan sebuah kajian yang agak terperinci mengenai kisah berkonsepkan kesultanan Melayu Jawa. Kirana merupakan sebuah skrip yang dicipta sendiri oleh kumpulan KTSN mengisahkan puteri Kirana yang mempunyai sikap yang agak kasar berbanding adiknya. Konflik berlaku apabila dua orang pembesar negeri ingin menyunting adik Kirana namun tidak diterima Permaisuri kerana secara adatnya, Kirana harus mendirikan rumahtangga dahulu, sedangkan tiada siapa yang ingin memperisterikan Kirana kerana sikapnya yang agak biadap. Dua pembesar ini akhirnya memperkenalkan seorang putera raja kepada Kirana dan putera tersebut tertarik untuk menjadikan Kirana sebagai isteri. Namun begitu, hubungan Kirana dan putera tersebut dicemburui oleh seorang dayang Kirana. Cemburu itu membawa kepada tragedi pembunuhan putera tersebut.

Secara keseluruhan, persembahan Kirana menarik perhatian saya kerana nilai estetika Jawa yang tinggi dipamerkan oleh kumpulan ini. Bermula daripada setting sehingga kepada pengurusan kostum, menampakkan kesungguhan dan seriusnya kumpulan ini mengkaji segala unsur-unsur Jawa. Cuma kelemahannya dari segi reka bentuk keris Jawa yang dikomen oleh juri tidak sama dengan rekaan keris kesultanan tanah melayu. Manakala untuk merealisasikan secara penuh kostum mungkin tidak sesuai kerana kebanyakan puteri Jawa adalah berkemban. Kalau semua pelakon perempuannya berkemban, rasanya la kot juri-juri lelaki berdarah hidung bagi kumpulan ini menang.


Kelemahan ketara yang dilakukan oleh kumpulan ini adalah dari segi teknikal lampu. Terdapat banyak black spot atas pentas menyebabkan pementasan tersebut agak suram. Malah, lampu berwarna dimasukkan sekali dengan lampu biasa menyebabkan penonton tidak dapat memaksudkan manipulasi pencahayaan yang dilakukan. Paling ketara adalah pada awal cerita di mana terdapat watak jin yang berlegar-legar disekeliling penari istana. Lampu yang dipasang menampakkan seolah-olah jin tersebut boleh dilihat oleh semua orang dalam istana tersebut. Rasanya kelemahan teknikal yang ketara hanya terpapar pada teknikal pencahayaan, cuma terdapat sedikit kesilapan kostum semasa watak jin menukar pakaian untuk bertukar menjadi seorang perompak. Mungkin semasa latihan atau rehearsal, kesulitan tersebut tidak berlaku namun bila hari persembahan, segala macam benda boleh terjadi.

Dari segi lakonan, dua watak yang menarik perhatian saya adalah watak Kirana dan watak Mayang, seorang dayang kepada Kirana. Mayang membawakan wataknya dengan baik dan kelihatan comel dengan kelakuan malu-malu kucing semasa menaruh perasaan kepada putera raja. Bagi saya, pelakon yang membawakan watak Mayang ini deserve Anugerah Pelakon Pembantu Wanita. Kirana pula dengan pembawakan karakter sombong, pemarah, biadap yang menjadi. Pelakonnya merupakan bekas ahli KTR seangkatan dengan batch Odah. Cuma dia tak dapat meneruskan proses menimba ilmu di KTR kerana bertukar ke kampus KL. Namun begitu, gaya lakonannya juga patut diberi pujian. Pelakon-pelakon lain bukannya tidak bagus tapi 2 karakter tadi menonjol berbanding dengan pelakon lain walaupun secara keseluruhan lakonan mereka boleh dikategorikan sebagai memuaskan.



Untuk produksi Kirana ini, saya cuma nak komen satu benda. Bagi saya, adegan permaisuri menyanyikan lagu 'Bagaikan Sakti' tidak sesuai diletak dalam cerita tu. Sebab utama adalah kerana lagu itu sendiri sudah establish. Bagi saya, satu persembahan teater perlu isi yang fresh dan tidak mencampurkan sesuatu yang sudah diketahui umum. Lagi-lagilah dalam hal meletakkan muzik latar. Lagu-lagu seperti tema Mission Impossible, Pink Panther dan pelbagai lagi lagu-lagu establish diguna pakai dalam satu persembahan teater. Bukan tak boleh tapi bagi saya ia menjadikan satu show tu spoiling sebab orang boleh anggap, "tak ada idea atau lagu lain ke nak buat lagu latar?". P Ramlee sendiri telah mengajar kita untuk selalu menghasilkan fresh idea melalui filem-filemnya. Lagu latarnya dicipta sendiri untuk pelbagai emosi dalam sesuatu babak. Jadi, untuk kumpulan-kumpulan baru nak buat show teater, saya nasihatkan elakkan untuk menggunakan lagu-lagu yang orang dah tau. Kalau nak pakai juga, carilah lagu-lagu yang orang tak pernah dengar atau tidak popular tapi kena dengan adegan yang ingin diiringkan lagu itu.


Seterusnya, sedikit pandangan mengenai perkara tersirat sebalik show Kirana ini. Dalam ramai-ramai penonton yang menonton show tersebut, saya terdengar juga ada yang cakap "bolehlah, budak-budak KTSN ni banyak duit, sebab tu boleh buat benda gempak-gempak."
Bagi saya, banyak duit atau tidak semuanya datang dari kesungguhan. Bukan nak membangga diri namun, KTR sendiri pun ramai yang keluarkan duit sendiri untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan dan tak semestinya duit sahaja faktor untuk sesuatu show tersebut dipuji dan dikenang orang sepanjang zaman. Apa-apa pun datang dari kesungguhan untuk menjadikan sesuatu show itu berjaya.

Setelah tiga kumpulan mempersembahkan teater masing-masing, Kirana menyenaraikan kumpulan mereka dalam saya punya kumpulan top 3 untuk festival teater ini. Masih ada lagi 5 kumpulan yang bakal menyajikan persembahan masing-masing selepas KTSN, dan saya perlu sabar menanti show-show selepas ini. Masih ada 2 lagi tempat kosong dalam kumpulan top 3 saya.