04 June, 2009

DARI SUDUT PANDANGAN MISLINA


Post kali ini saje Kasawari selitkan sinopsis dan pandangan tentang naskhah SUPERPTUIH! & TRANSIT KALER MAGENTA yang bakal dipentaskan oleh Kelab Teater Rimba di saringan Festival Teater Selangor 2009 pada malam ini (04 Jun 2009). Sinopsis ini adalah berdasarkan apa yang ditulis oleh Mislina Mustaffa yang merupakan pelakon (Otak Tak Centre, Alang Rentak Seribu, dan Bangau, Oh Bangau, juga pelakon filem Talentime) dan pengarah (Till Death Do Us Part dan Waiting for Godot).

"Sinopsis persembahan ini memang epik. Inilah cubaan saya untuk meringkasnya: Ptuih! (nama protagonis) yang rebel bertengkar dengan bapak dan dihalau keluar. Helium Si Gas Nadir, abang Ptuih! yang sedikit autisme mengikut Ptuih! hingga ke stesen transit. Ptuih! merupakan bagai Superman kepada Helium, yang sentiasa memeluk patung Tweety. Helium memujuk Ptuih! supaya tidak pergi. Bapak pula menghantar Maseh Dara, kakak tengah supaya membawa Helium balik. Lalu terjadi pertengkaran antara Ptuih! dan Maseh Dara, yang rupa-rupanya adalah ‘sex toy’ bapa mereka. Bila Maseh Dara cuba membawa Helium balik, Ptuih! menghalang, malah menjual Maseh Dara pada Pengawal Keselamatan Stesen. Kemudian, Ptuih! memujuk dan menggunakan kelemahan Helium sebagai senjatanya untuk meneruskan misinya – bunuh bapak.

Superptuih! & Transit Kaler Magenta, tulisan dan arahan Wan Azli Wan Jusoh, adalah sebuah cerita kejatuhan yang tragik. Ia boleh kita jadikan bahan rujukan semasa yang aktif untuk kita melihat kembali perang saraf yang melanda anak-anak muda waktu ini untuk kita jadikan iktibar. Idea dan teksnya bersifat global, boleh diadaptasikan mengikut isu dan peradaban mana-mana bangsa, kerana ia bukan sahaja sebuah kejatuhan peribadi tetapi keruntuhan ketamadunan kemanusiaan keseluruhannya. Dengan mengambil latarbelakang Malaysia kini, konflik sosio-budaya-ekonomi-politik dilihat sebagai pemangkin penting dalam pembentukan eksistensi anak-anak muda yang terperangkap. Terperangkap di dalam ruang masa, ruang logik, ruang kenangan lampau, ruang ugama dan sebagainya. Kesemuanya bercampur-baur dan bertempur di dalam balang tuntutan materialisme. Masing-masing ingin mencari ruang untuk bernafas, ruang untuk menjadi manusia tenang dan sederhana. Dalam usaha untuk meminimalkan kadar absurditi inilah, konflik tercetus dan perkelahian prinsipal berlaku. Oleh kerana sistem yang dulunya menjadi pedoman kini sudah tidak mampu lagi untuk memberi jawapan, jalan mudahnya adalah, keluar dari sistem tersebut atau runtuhkan sahaja ia.

Inilah yang berlaku kepada Ptuih!, Helium dan Maseh Dara yang pecah sahsiah diri akibat Bapak yang sudah tidak mampu lagi untuk berfungsi sebagai super-ego mereka. Bapak sepatutnya menjadi super-hero yang menyelamatkan dunia tetapi gagal. Puncanya, dari seekor burung helang bermata tajam, dia telah bertukar menjadi ular yang tamak, membelit keseluruhan sistem lantas menjadi raja. Lidahnya berbisa. Maseh Dara terperangkap dalam janji-janji manis status dan kebendaan. Ptuih! terperangkap dalam kata-kata nista dan kebencian. Dan Helium pula, seperti sebuah globe yang terperangkap diantara 2 paksi, hanya mampu berputar-putar didalam wilayah kebingungan ini dan akhirnya pecah. Mereka adalah mangsa. Apa yang kita tonton di atas pentas adalah impak. Puncanya tersembunyi dan seperti ular, masih merayap dalam diam mencari mangsa seterusnya. Lalu apa yang lebih penting untuk kita bicarakan di sini adalah bapak yang tidak muncul di atas pentas itu. Dialah sistem yang mengakibatkan keruntuhan setragis itu. Dan dia ular yang masih hidup.

Walau bagaimanapun, bicara tentang sistem dan impak positif negatifnya adalah sebuah bicara yang mual. Setiap saat kita disogok dengan sistem-sistem yang dibina dari logika akal yang bertahap super. Setiap saat juga kita menonton kemusnahan berpunca dari sistem-sistem ini. Kita bingung. Tidak tahu apa lagi yang harus kita perbetulkan kerana kalaulah sistem akal manusia yang paling logik pun sudah tidak mampu berfungsi lagi, dari mana lagi harus kita cari jawapan untuk kedamaian kemanusiaan kita?

Tambahan pula, ini zaman kemuncak akal. Membikin sistem bukanlah sesuatu yang sukar. Segalanya di hujung jari. Makanan segera, wang segera, kepuasan segera dan baru-baru ini, demam reality TV yang menjanjikan emosi segera, menjadi sistem kehidupan kita. Bayangkan, apabila ‘kesegeraan’ menjadi super-hero yang menyelamatkan hari-hari kita, apakah yang akan terjadi kepada pembentukan kemanusiaan kita? Eksistensi segera juga bermaksud kematian yang segera.

Jawapannya, kerna kehidupan kita sudah jadi sesegera komik, kita harus berusaha semula menjadi manusia. Tak perlu jadi Superman dan jangan pula jadi Tweety."


Inilah gambaran dan pandangan Mislina tentang naskhah ini. Jadi doakan kejayaan KTR untuk membolosi finale Festival Teater Selangor 2009!


p/s: dengar-dengar kemungkinan besar penulis skrip ini, Wan Azli akan datang ke saringan kami, sekali gus mengintai bakat baru untuk his next film project!

4 comments:

widda_me said...

wah...nmpaknya tengku kasawari kita boleh mncuba nasib....

teuku kasawari said...

mencuba nasib utk ape?

teuku kasawari said...

pementasan telah berlangsung dengan jayanya tadi meskipun kami menerima kritikan yang membina dari viewers. kami akan cuba pertingkatkan lagi mutu persembahan sekiranya ke final.. Insya-Allah...

widda_me said...

utk wan azli's next film